CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, July 27, 2011

DUHAI PEMUDA

Segar.. Saat kaki melangkah merentasi kabus pagi bersama sahabat-sahabat tadi, kepala terasa segar.

Pagi-pagi begini, menghirup udara segar-Nya, entah kenapa hati saya jadi teringat pada sahabat-sahabat di luar sana.

Yang Islamnya masih kabur..
Yang hiburannya masih lagi berlebihan..
Yang zina menjadi budaya..

Gusar.

Masa Depan.

Kisah XPDC malam tahun baru yang lalu menggamit ruangan mata. Entah apalah khabarnya mereka. Sihatkah Imannya, sesihat tubuh kita semua yang elok berjalan ke sana ke mari?

Atau sakitkah Iman mereka, mencari penawar yang tidak kunjung tiba?

Membuka helaian akhbar pula seolah-olah mengambil belati tajam dan ditoreh hati ini halus-halus. Ah remaja... Mengapa kian alpa?

Jika kamu mahu melihat masa hadapan, lihatlah pemuda yang ada pada masa kini.

Pesan Saidina Umar al-Khatab menggamit gusar di hati. Jika mahu melihat pemuda zaman ini, pastinya hati menjadi gundah, jiwa menjadi tidak tenteram.

Apakah mungkin masa hadapan yang bakal ditempah semakin kelam, atau ada bahagia yang menggamit?

Saya tidak pasti.

Apa yang saya pasti, semakin ramai pemuda yang hilang rasa megah terhadap Islam, yang hanya tahu marah ketika Islam dikutuk tetapi diri sendiri tidak mengamalkan Islam yang sebenar.

Di mana hilangnya pemuda seperti Saidina Ali dan juga Zubair, atau Abbdurrahman bin Auf, atau Sultan Muhammad al-Fateh.

Mengapa pemuda yang mengerti Islam, semakin takut menyuarakan pandangan, hingga akhirnya kebatilan berdiri megah, menumpaskan kebenaran yang jatuh menyerah.

Buatmu Pemuda...

Imam as-Syahid Hasan al-Banna ada berpesan:
"Ketika ada setiap kebangkitan ummat, pastilah pemuda menjadi tiangnya, di setiap sebalik pemikiran manusia, pastilah pemuda menjadi pengibarnya."

Begitu juga dengan ulamak terkenal, Syeikh Yusuf al-Qardhawi, beliau menegaskan :

Pemuda itu ibarat matahari ketika jam 12 tengah hari. Panasnya begitu terik, cahayanya begitu terang.

Wahai pemuda... Sedarkah perananmu kepada dunia? Tenaga yang kamu ada, mampu menggegarkan dunia. Tapi biarlah dengan gegaran Iman yang mampu menegakkan kembali kalimah Lailahailallah di muka bumi ini.

Bukannya gegaran yang mampu mematahkan Iman, atau mengundang bahagia para Syaitan laknatullah!

Ingatlah duhai pemuda pada kisah Ashabul Kahfi yang lari menyelamatkan Iman, lantas Allah tidurkan mereka dalam gua selama 309 tahun.

Ingatlah pada Nabi Ibrahim yang menggegarkan kerajaan Namrud, yang memecahkan berhala-berhala yang ada pada ketika itu, yang berfikir mengenai Tuhannya yang sebenar ketika usianya masih lagi kecil.

Ingatlah pada pemuda Ashabul Ukhdud yang meletakkan Allah di tempat yang utama, yang tidak kisah biar nyawanya menjadi gadaian, asal sahaja Islam tersebar luas.

Kisah Pemuda Islam.

Sahabat mahu tahu bagaimana Islam menjadi gemilang suatu ketika dahulu?

Gemilangnya Islam adalah kerana wujudnya pemuda-pemuda hebat yang meletakkan Allah di tempat utama.

Menyelusuri sirah... Moga ada yang mengambil iktibar.



ZUBAIR.

Zubair, ketika usianya memasuki 15 tahun. Beliau telah menjadi seorang pendakwah yang diutus oleh Rasulullah S.A.W ke merata tempat. Beliau juga sering diajak berdiskusi bersama Rasulullah S.A.W.

Di sini terselit hikmah di mana Rasulullah S.A.W tidak membezakan yang tua atau yang muda. Bukan usia menjadi ukuran, tapi idea dan sejauh mana seseorang itu mampu memberi sumbangan untuk Islam adalah lebih utama.

TOLHAH BIN UBAIDILLAH.

Ketika usianya 16 tahun, beliau sudah bergelar mujahid, pendakwah dan penyokong dana dalam kegiatan Rasulullah S.A.W.

Tolhah adalah seorang pemuda yang amat kaya raya. Jika sekarang, pemuda-pemuda zaman ini ada wang yang banyak pastinya mahu beli itu ini, atau mahu merasa hidup mewah..

Tidak bagi Tolhah bin Ubaidillah. Hartanya digunakan untuk Islam, fikirannya hanya memikirkan urusan dakwah.

SAAD BIN ABI WAQAS

Ketika usianya 16 tahun, beliau telah menyertai peperangan Uhud dan syahid.

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH.

Ketika usianya 23 tahun, beliau telah berjaya menawan Kota Konstantinopal yang cuba ditawan oleh beberapa orang khulafa' namun menemui kegagalan.

Beliau tidak pernah meninggalkan qiamullail setelah usianya menginjak puluhan. Beliau adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.

IBNU ABBAS.

Beliau adalah anak saudara salah seorang isteri Nabi iaitu Maimunah. Pada suatu hari, Ibnu Abbas teringin benar melihat peribadi Rasulullah S.A.W. Maka, beliau tidak tidur malam menanti Rasulullah bangun di sepertiga malamnya.

Beliau menunggu sahaja di hadapan pintu sehingga akhirnya Rasulullah S.A.W keluar dan Rasulullah amat terkejut melihat Ibnu Abbas sudah siap sediakan gayung untuk baginda berwudhu'.

Setiap gerak geri Baginda diperhatikan Ibnu Abbas, dan semenjak itulah Rasulullah S.A.W sering menyebut-nyebut nama Ibnu Abbas.

Apabila baginda wafat, Ibnu Abbas berasa amat sedih sehingga beliau menangis berhari-hari lamanya, namun akhirnya beliau dapat menerima hakikat bahawa waktu Rasulullah S.A.W sudah pun tiba.

Dengan penuh kecekalan, beliau terus menuntut ilmu daripada sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W, dan ada suatu ketika, beliau mengetuk pintu salah seorang rumah sahabat, tetapi pintu tidak dibuka dan Ibnu Abbas lantas tertidur di luar rumah sahabat tersebut.

Keesokan paginya, sahabat terkejut melihat Ibnu Abbas dan berkata "Wahai Ibnu Abbas, kenapa kamu tidur di luar? kamukan anak saudara Rasulullah, kamu ketuk, gegarkan sahaja pintu ini pasti aku membukanya."

Di sini terlihat cantiknya peribadi Ibnu Abbas, jika tiada jawapan dari dalam rumah, dibiarkan sahaja, tidak diganggu, mungkin tuan rumah ada urusan lain.

Suatu hari, ada sahabat Rasulullah S.A.W bertanya kepada Ibnu Abbas "Apa gerangan yang membuat kau begitu pandai, banyak hafal hadis dan dihormati oleh para sahabat?" Sahabat yang dikasihi semua, mari kita hayati apa yang dibalas oleh Ibnu Abbas,

Saya punya lidah yang suka bertanya, dan punya akal yang suka berfikir.

Subhanallah sahabat!

Marilah menjadi pemuda yang bertaqwa, dan gegarkan dunia dengan kalimah Allah!

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. [Al-'Araf : 26]

Wallahu'alam..

No comments:

Post a Comment

Pena Alumni MMBB

Disinilah Bermula....Tersingkap Kenangan....Alirkanlah Ukhuwah