CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, July 27, 2011

DUHAI PEMUDA

Segar.. Saat kaki melangkah merentasi kabus pagi bersama sahabat-sahabat tadi, kepala terasa segar.

Pagi-pagi begini, menghirup udara segar-Nya, entah kenapa hati saya jadi teringat pada sahabat-sahabat di luar sana.

Yang Islamnya masih kabur..
Yang hiburannya masih lagi berlebihan..
Yang zina menjadi budaya..

Gusar.

Masa Depan.

Kisah XPDC malam tahun baru yang lalu menggamit ruangan mata. Entah apalah khabarnya mereka. Sihatkah Imannya, sesihat tubuh kita semua yang elok berjalan ke sana ke mari?

Atau sakitkah Iman mereka, mencari penawar yang tidak kunjung tiba?

Membuka helaian akhbar pula seolah-olah mengambil belati tajam dan ditoreh hati ini halus-halus. Ah remaja... Mengapa kian alpa?

Jika kamu mahu melihat masa hadapan, lihatlah pemuda yang ada pada masa kini.

Pesan Saidina Umar al-Khatab menggamit gusar di hati. Jika mahu melihat pemuda zaman ini, pastinya hati menjadi gundah, jiwa menjadi tidak tenteram.

Apakah mungkin masa hadapan yang bakal ditempah semakin kelam, atau ada bahagia yang menggamit?

Saya tidak pasti.

Apa yang saya pasti, semakin ramai pemuda yang hilang rasa megah terhadap Islam, yang hanya tahu marah ketika Islam dikutuk tetapi diri sendiri tidak mengamalkan Islam yang sebenar.

Di mana hilangnya pemuda seperti Saidina Ali dan juga Zubair, atau Abbdurrahman bin Auf, atau Sultan Muhammad al-Fateh.

Mengapa pemuda yang mengerti Islam, semakin takut menyuarakan pandangan, hingga akhirnya kebatilan berdiri megah, menumpaskan kebenaran yang jatuh menyerah.

Buatmu Pemuda...

Imam as-Syahid Hasan al-Banna ada berpesan:
"Ketika ada setiap kebangkitan ummat, pastilah pemuda menjadi tiangnya, di setiap sebalik pemikiran manusia, pastilah pemuda menjadi pengibarnya."

Begitu juga dengan ulamak terkenal, Syeikh Yusuf al-Qardhawi, beliau menegaskan :

Pemuda itu ibarat matahari ketika jam 12 tengah hari. Panasnya begitu terik, cahayanya begitu terang.

Wahai pemuda... Sedarkah perananmu kepada dunia? Tenaga yang kamu ada, mampu menggegarkan dunia. Tapi biarlah dengan gegaran Iman yang mampu menegakkan kembali kalimah Lailahailallah di muka bumi ini.

Bukannya gegaran yang mampu mematahkan Iman, atau mengundang bahagia para Syaitan laknatullah!

Ingatlah duhai pemuda pada kisah Ashabul Kahfi yang lari menyelamatkan Iman, lantas Allah tidurkan mereka dalam gua selama 309 tahun.

Ingatlah pada Nabi Ibrahim yang menggegarkan kerajaan Namrud, yang memecahkan berhala-berhala yang ada pada ketika itu, yang berfikir mengenai Tuhannya yang sebenar ketika usianya masih lagi kecil.

Ingatlah pada pemuda Ashabul Ukhdud yang meletakkan Allah di tempat yang utama, yang tidak kisah biar nyawanya menjadi gadaian, asal sahaja Islam tersebar luas.

Kisah Pemuda Islam.

Sahabat mahu tahu bagaimana Islam menjadi gemilang suatu ketika dahulu?

Gemilangnya Islam adalah kerana wujudnya pemuda-pemuda hebat yang meletakkan Allah di tempat utama.

Menyelusuri sirah... Moga ada yang mengambil iktibar.



ZUBAIR.

Zubair, ketika usianya memasuki 15 tahun. Beliau telah menjadi seorang pendakwah yang diutus oleh Rasulullah S.A.W ke merata tempat. Beliau juga sering diajak berdiskusi bersama Rasulullah S.A.W.

Di sini terselit hikmah di mana Rasulullah S.A.W tidak membezakan yang tua atau yang muda. Bukan usia menjadi ukuran, tapi idea dan sejauh mana seseorang itu mampu memberi sumbangan untuk Islam adalah lebih utama.

TOLHAH BIN UBAIDILLAH.

Ketika usianya 16 tahun, beliau sudah bergelar mujahid, pendakwah dan penyokong dana dalam kegiatan Rasulullah S.A.W.

Tolhah adalah seorang pemuda yang amat kaya raya. Jika sekarang, pemuda-pemuda zaman ini ada wang yang banyak pastinya mahu beli itu ini, atau mahu merasa hidup mewah..

Tidak bagi Tolhah bin Ubaidillah. Hartanya digunakan untuk Islam, fikirannya hanya memikirkan urusan dakwah.

SAAD BIN ABI WAQAS

Ketika usianya 16 tahun, beliau telah menyertai peperangan Uhud dan syahid.

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH.

Ketika usianya 23 tahun, beliau telah berjaya menawan Kota Konstantinopal yang cuba ditawan oleh beberapa orang khulafa' namun menemui kegagalan.

Beliau tidak pernah meninggalkan qiamullail setelah usianya menginjak puluhan. Beliau adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.

IBNU ABBAS.

Beliau adalah anak saudara salah seorang isteri Nabi iaitu Maimunah. Pada suatu hari, Ibnu Abbas teringin benar melihat peribadi Rasulullah S.A.W. Maka, beliau tidak tidur malam menanti Rasulullah bangun di sepertiga malamnya.

Beliau menunggu sahaja di hadapan pintu sehingga akhirnya Rasulullah S.A.W keluar dan Rasulullah amat terkejut melihat Ibnu Abbas sudah siap sediakan gayung untuk baginda berwudhu'.

Setiap gerak geri Baginda diperhatikan Ibnu Abbas, dan semenjak itulah Rasulullah S.A.W sering menyebut-nyebut nama Ibnu Abbas.

Apabila baginda wafat, Ibnu Abbas berasa amat sedih sehingga beliau menangis berhari-hari lamanya, namun akhirnya beliau dapat menerima hakikat bahawa waktu Rasulullah S.A.W sudah pun tiba.

Dengan penuh kecekalan, beliau terus menuntut ilmu daripada sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W, dan ada suatu ketika, beliau mengetuk pintu salah seorang rumah sahabat, tetapi pintu tidak dibuka dan Ibnu Abbas lantas tertidur di luar rumah sahabat tersebut.

Keesokan paginya, sahabat terkejut melihat Ibnu Abbas dan berkata "Wahai Ibnu Abbas, kenapa kamu tidur di luar? kamukan anak saudara Rasulullah, kamu ketuk, gegarkan sahaja pintu ini pasti aku membukanya."

Di sini terlihat cantiknya peribadi Ibnu Abbas, jika tiada jawapan dari dalam rumah, dibiarkan sahaja, tidak diganggu, mungkin tuan rumah ada urusan lain.

Suatu hari, ada sahabat Rasulullah S.A.W bertanya kepada Ibnu Abbas "Apa gerangan yang membuat kau begitu pandai, banyak hafal hadis dan dihormati oleh para sahabat?" Sahabat yang dikasihi semua, mari kita hayati apa yang dibalas oleh Ibnu Abbas,

Saya punya lidah yang suka bertanya, dan punya akal yang suka berfikir.

Subhanallah sahabat!

Marilah menjadi pemuda yang bertaqwa, dan gegarkan dunia dengan kalimah Allah!

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. [Al-'Araf : 26]

Wallahu'alam..

Thursday, July 21, 2011

OH API, DARI MANA ASALNYA KAMU?

Assalamu'alaikum w.b.t buat semua yang sudi menjengah di laman sesawang ini. Harapnya sidang pelawat yang budiman sentiasa sihat lagi dirahmati Allah. Insya Allah. Ameen..

Sebenarnya, hati saya (admin) tertanya-tanya, post apakah yang ingin saya kongsikan untuk kali ini disini buat perkongsian kita bersama. Jom, fikir, fikir, fikir! Emm, apa ya?

Baiklah, dah datang ilhamnya. :) Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekelian, pernahkah kalian semua lihat apakah gambar dibawah ini?


Apakah ini? Ya, kalian tepat ! Ini adalah api. Tahukah sahabat-sahabat semua, dari manakah asalnya api yang Allah kurniakan buat kita semua di muka bumi ini? Api yang sering kita gunakan dalam rutin harian untuk memasak dan sebagainya. Tahukah kalian? Baiklah, yang sudah tahu, alhamdulillah.. Pahatkan dalam dada, kongsilah bersama insan lain. :) Manakala yang belum mengetahuinya, teruskan pembacaan, jika kalian semua mahu tahu. :)

Diriwayatkan bahawa Rasululallah SAW pernah menceritakan betapa asalnya kejadian api di dunia ini. Setelah nabi Adam AS dihantar ke dunia kerana kesalahannya memakan buah larangan maka Allah SWT telah memerintahkan malaikat Jibril AS supaya mengambil api dari neraka untuk dihantar ke dunia untuk kegunaan Nabi Adam AS. Maka Jibril AS pun diperintahkan untuk meminta api tersebut daripada malaikat penjaga api neraka iaitu Zabaniah.

Jibril : Wahai Zabaniah, aku diperintahkan untuk mengambil sedikit api neraka untuk dihantar ke dunia bagi kegunaan Adam AS.

Zabaniah : Sebanyak mana sedikit itu ?

Jibril : Sebesar kurma..

Zabaniah : Kalau sebesar buah kurma api neraka itu engkau bawa nescaya akan cairlah tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi akibat kepanasanya.

Jibril : Kalau begitu berilah aku sebesar separuh dari buah kurma…

Zabaniah : Kalau sebesar separuh buah kurma api neraka ini engkau letakkan di dunia nescaya tidak akan turun walaupun setitik hujan dari langit dan tidak ada suatu pun tumbuhan akan tumbuh di bumi nanti..

Memandangkan keadaan yang rumit ini maka Jibril AS pun menghadap Allah untuk mendapatkan saiz yang perlu di hantar ke dunia.

Allah SWT pun memerintahkan supaya Jibril mengambil sebesar ZARAH sahaja dari api neraka utk di bawa ke dunia. Maka Jibril AS pun mengambil api neraka sebesar zarah dari Zabaniah tetapi oleh kerana kepanasan yg keterlaluan api neraka sebesar zarah itu terpaksa disejukkan dengan mencelupnya sebanyak 70 kali kedalam sungai di syurga dan sebanyak 70 buah sungai.

Selepas itu Jibril AS pun membawa api itu turun ke dunia dan diletakkan diatas sebuah bukit yg tinggi. Sejurus setelah diletakkan api tersebut, tiba-tiba bukit itu terus meleleh dan cair. Maka cepat-cepat malaikat Jibril mengambil semula api tersebut dan menghantar semula ke neraka. Hanya sisa-sisanya sajalah yang terdapat di dunia ini seperti api yg sering kita gunakan untuk pelbagai keperluan termasuk api gunung berapi dan sebagainya.


Subhanallah. Panas atau tidak panas api neraka itu, kita sendiri sudah pasti dapat membayangkannya. Kadangkala mahu menggoreng ikan di dapur pun bersilat juga kita, takut-takut terkena percikan minyak yang panas, inikan pula api yang luar biasa panasnya. Renung-renungkan, dan fikir-fikirkanlah. Salam muhasabah buat semua.. Sekadar ini sahaja buat tinta hari ini, moga berjumpa di tinta yang seterusnya..:)

Saturday, July 16, 2011

TERLANJUR


Assalamu'alaikum w.b.t buat semua..

Hari demi hari, kita melihat gelagat dan aksi manusia hari ini. Tidak kira dimana kamu semua, pastinya mata kamu dapat menyaksikan fenomena dunia kini. Adakah manusia itu jauh dari Allah atau sebaliknya. Sungguh, hati saya (admin) agak tersiat, apabila melihat insan tika ini khususnya para syabab dan fatayat. Ada yang menjual diri dengan sewenang-wenangnya. Ada yang memperhambakan jasad ke lembah kemaksiatan. Tak kurang juga yang memperjudikan nasib mereka. Saya mengerti, perasaan cinta itu fitrah. Kerana saya juga berperasaan. Saya juga punya hati. Namun, berapa ramai manusia hari ini salah menempatkan cinta itu sendiri. Bukan mahu mengatakan diri saya adalah yang terbaik, cuma atas kasih dan mahabbah terhadap generasi hari ini, saya kongsikan buat kalian semua. Kita semua mungkin pernah terlanjur juga tersasar. Namun, ketahuilah, Allah itu bersifat Ar Rahman.. Taubat sudah pastinya akan ada buat kita hambaNya.. Dengan itu, hayatilah dengan apa yang ingin kami kongsikan disini. Iqra'! Bacalah! Bacalah dengan mata hati kalian. Moga-moga kita beroleh manfaatnya bersama. Insya Allah..

*******************************************************

“Apa yang dimaksud ‘terlajur’ pada ayat ustaz tu?”. Tanya seorang pembaca setia laman blog penulis.

“Usahlah ditanya, cukuplah kalimah tersebut menghantui kepala saya sejak kebelakangan ini”. Penulis cuba meredakan hati yang sedikit risau melihat gelagat muda-mudi masa kini.

Mungkin para teman dan pembaca tertanya-tanya kenapa terlalu banyak mesej pesanan di yahoo messenger hingga memeningkan sesetengah sahabat-sahabat, tidak cukupkah sekali dihantar?

Penulis terpaksa berbuat sedemikian bagi menjawab banyak pertanyaan sama yang diajukan di dalam e-mail, bahkan yang terbaru betul-betul menguji kesabaran penulis. Apakah ini yang dikatakan darah muda yang berani memperlakukan perbuatan terkutuk ini?

Ada yang mengaku telah ditebuk oleh teman lelaki, terkapai-kapai mencari jalan pulang kepada-Nya.

Allahu Rabbi…!

Namun paling merisaukan penulis, penyakit kronik ini berlaku di kalangan anta anti yang mempunyai asas ilmu agama sebagai pendiding. Ingatkan cerah hingga ke petang, hujan pula dipertengahan.

Inilah yang penulis persoalkan.

وَمَن كَانَ فِى هَـٰذِهِۦۤ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلۡأَخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلاً۬

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya”.
al-Israa’ (17:72)

Ada yang berpendapat fatrah masa pertunangan adalah waktu untuk berkenal kenalan, jadi apa salahnya untuk keluar bersama ke taman-taman rekreasi, pusat hiburan dan sebagainya. Ini adalah pandangan yang fasad dan tidak diiktiraf oleh agama. Mana tidak semua hujah atau dalil tersebut berbaur khayalan dan bayangan iblis bagi memuaskan nafsu semata-mata.

Pendirian penulis berkenaan dengan no couple sebelum kahwin sememangnya tetap tegar dari sekolah, universiti sehinggalah penulis akan merasai nikmat berkahwin itu sendiri. Mungkin penulis antara individu yang amat tajam dalam mengkritik individu yang bercinta hingga meleret-leret sebelum kahwin.

Terkadang terasa rimas dengan sikap sesetengah daripada kawan-kawan yang bercinta kononnya, sungguh mengajar erti kesabaran. Mabuknya melampau-lampau. Tunduk ego kelakian, dan lembik tengok para wanita.

Bahkan penulis sering beranggapan golongan yang bercinta sebelum kahwin ini kadang-kadang boleh menjadi munafik. Bagaimana pula? Kenapa tidak, semasa bercinta semuanya sikap yang baik-baik ditonjolkan, daripada cakap-cakap romantik, hadiah yang tidak pernah putus-putus, puji-pujian yang melangit dan sebagainya. Tetapi selepas kahwin, berapa ramai yang kekal dengan lakonan masa cinta tengah mekar subur sebelum ini, jarang sekali akan ketemu mereka yang masih ingat pada skrip yang pernah dihamburkan dulu.

Inilah salah satu punca perceraian yang tinggi di tanah air kerana pasangan berasa tertipu selepas belang sebenar pasangan mereka terdedah bilamana merasai sendiri bayangan rumahtangga yang sebenar.

TIADA MATLAMAT HIDUP JELAS

Bagi yang sudah terdedah dengan gaya hidup bebas, keluar bersama untuk dating, beriba dan bertepuk tampar bukanlah sesuatu yang pelik. Penulis terkedu mendengar kisah hidup masyarakat muda-mudi Malaysia yang sudah ala-ala barat. Masalah ber-couple dan membawa balik pasangan ke rumah sudah menjadi perkara biasa, yang hairannya ibu bapa sendiri yang merestui hubungan haram itu.

Belum cerita lagi tidur sekatil yang makin menjadi ‘biasa’. Maksiat? Dosa? Semuanya tidak terasa dek kerana matlamat menghalalkan cara.

“Niat kami baik, bukan nak main-main pun, sampai masa kami kahwin la. Kamu sibuk kenapa? Macamlah baik sangat”.

Biasa dengarkan ayat di atas?

Lain pula ceritanya dengan pasangan yang berkopiah dan bertudung litup, terkadang penulis tergelak keseorangan dengan lakonan wara’ mereka. Berhenti solat di masjid semasa keluar bersama, maklumlah alim dan wara’, miscall qiamullail, sms tazkirah dan sebagainya antara skrip murahan harian mereka.

Mabuk orang bercinta ni memang dahsyat. Mengapa mabuk, rindu dendam yang sama tidak diaplikasikan dalam bercinta dengan Allah Taala. Pelik bukan? Mulut kita mengaku cinta Allah Taala, sayang Rasul s.a.w, namun amalannya masih jauh daripada hakikat sebenar.

“Macam mana nak kenal peribadi bakal isteri kalau tak bergayut dulu” antara alasan yang pernah diberikan kepada penulis.

Teringat penulis cerita lama orang tua kita yang berkahwin dan hanya mengenal pasangan masing-masing pada hari perkahwinan. Bahagia mereka lebih daripada pasangan moden yang kenal sampai ke dalam kain sebelum di-Ijab dan Qabul.

Pastinya kenyatan ini dijawab kembali: “Ala itu dulu, sekarang dunia sudah maju, takkan nak ikut cara datuk nenek kita zaman jepun dulu” Penulis terkedu mendengar ayat berapi ini.


SAY : “NO COUPLE”

Persoalan cinta sebelum kahwin ini merupakan tajuk yang panjang. Cinta tidak semestinya membawa kepada couple, namun bahkan cinta boleh menjadi wasilah kepada mungkar lain yang mungkin berlaku tanpa couple.

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa”.

al-Furqan (25:74)

Magnet jantina ini sebenarnya satu fitrah dalam kehidupan manusia. Hal ini bukanlah perkara baru bagi kehidupan pelajar ditambah lagi dengan faktor umur di alam kampus tarikan untuk berpasang pasangan merupakan perkara lumrah dan mendarah-daging dalam diri mereka.

Perkenalan di alam sekolah, kenal semasa kursus persediaan, kenal sebab sekelas atau satu universiti, kenal kerana pertukaran nota, bahkan kenal sewaktu sama-sama berprogram merupakan noktah pemulaan kepada eposid cinta remaja, mungkin cinta monyet.

Jadi bagi yang sudah bermula untuk mencari, semak balik niat anda. Bagi yang sudah tersasar jauh jadikan cinta Allah Taala benteng ampuh dalam mengawal karenah cinta anda yang bergelora. Akhirnya pesanan penulis kepada semua yang ingin dan tengah bercinta, jangan jadikan couple anda punca tawar hubungan suami isteri selepas kahwin.

Mengapa perlu mencari marah Allah Taala semata-mata mencari bahagia manusia yang tiada jaminan.

Jauhilah maksiat bercinta sebelum kahwin, sinonimnya cinta monyet ini.

“Ya Allah. Kami ingin belajar untuk mentaati perintah-Mu. Kami belajar untuk menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah. Kami seringkali jatuh dan bangun, jatuh dan bangun lagi, dan lagi. Semoga kami terus dipimpin oleh-Mu, duhai Allah”.

Ameen..


Bagaimana? Boleh mengerti? Tepuk dada, tanyalah iman dihati. Adakah bergetar iman di dada.. "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya dan kebinasaan" (al-baqarah : 195) Moga bermanfaat. Apa yang baik itu daripada Allah s.w.t. Wallahu'alam...

Friday, July 15, 2011

TANDA ORANG BIJAKSANA


Saidina Uthman Bin Affan Radiallahu 'anhu berkata :

Antara tanda2 orang yang bijaksana :

1. Hatinya selalu berniat suci.

2. Lidahnya selalu basah dengan zikrullah.

3. Kedua matanya menangis kerana penyesalan terhadap dosa.

4. Segala perkara dihadapinya dengan sabar dan tabah.

5. Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.


Saidina Ali Karramallahu wajhah berkata :


1. Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'.

2. Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.

3. Tiada kebaikan bagi pembaca al-quran tanpa mengambil pengajaran daripadanya.

4. Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara'.

5. Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.

6. Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.

Ada 3 kategori manusia :

1.BERJAYA : Hari ini lebih baik daripada semalam.

2.TERPEDAYA : Hari ini sama seperti semalam.

3.CELAKA : Hari ini lebih teruk daripada semalam.

"Apabila kita kejar dunia, dunia akan lari, tetapi apabila kita kejar akhirat, dunia akan mengejar kita".

Sekian untuk renungan kita bersama.. Segala yang baik itu daripada Allah.

PELANCARAN ALUMNI & JAULAH MA'HADI

Assalamu'alaikum w.b.t..

Mohon maaf terlebih dahulu buat semua, kerana sepatut dan semestinya post kali ini perlu dimunculkan lebih awal lagi.. Namun atas asbab yang tertentu, alumni mencoret tinta pada hari ini..

Kita hanya mampu merancang, namun Allah s.w.t yang lebih berhak menentukan. Alhamdulillah, pada 1 & 2 Julai 2011 yang lepas, alumni berjaya mengadakan sebuah program berbentuk ukhwah bersama warga sekolah MAKTAB MAHMUD BANDAR BAHARU iaitu JAULAH MA'HADI serta sekaligus menjayakan PELANCARAN ALUMNI.

Terima kasih yang tidak terhingga buat pihak sekolah dan adik-adik semua atas setiap komitmen yang diberikan kepada kami pihak alumni. Teruja rasa dihati kami atas setiap respon yang adik-adik berikan. Insya Allah, moga berjumpa di program yang akan datang.



























Kepada semua yang terlibat, jazakallah khairan jazak atas kerjasama yang antum berikan. Serta, mohon maaf atas setiap kecacatan yang berlaku sepanjang program berlaku. Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah s.w.t dan yang tidak baik itu adalah daripada kami pihak alumni sendiri.. Wallahu'alam..

Pena Alumni MMBB

Disinilah Bermula....Tersingkap Kenangan....Alirkanlah Ukhuwah