"Demi kuda perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh. Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. Lalu mengempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan ni'mat Tuhannya....."
(Surah al-'Aadiyaat : 1-6)
Menarik sekali perbandingan yang Allah s.w.t gambarkan dalam surah ke 100 dari Al-Quranul Karim ini untuk kita renungkan.
Kuda Perang dengan Manusia....
Apa hikmahnya Allah s.w.t bersumpah dengan kuda perang, kemudian menyatakan pula perihal keingkaran manusia kepada-Nya ?
Kuda perang.. Digunakan untuk perang, dibesarkan dengan tujuan untuk menemani tuannya, si penunggang kuda untuk berperang di medan perang yang dahsyat. Makanan harian kuda hanyalah rumput kering dan dia hanya meminum air kosong yang bukannya dimasak. Dan ia mempunyai risiko yang besar untuk cedera atau kehiLangan nyawanya di medan perang.
Walau pun mendapat layanan begitu rupa, kuda perang nyata bersemangat dan bersungguh-sungguh ke medan peperangan berjuang bersama-sama tuannya sehingga ladam kakinya memercikkan api dan menaikkan debu-debu pasir, menunjukkan kedahsyatan semangatnya bersama tuannya.
Ia sanggup berkhidmat bila-bila masa sahaja. Tidak kira siang, malam, pagi atau petang. Ia sanggup bangkit awal pagi dan berperang bersama tuannya tanpa membantah. Walaupun makanannya sepanjang hayat hanya rumput kering serta penjagaan yang ala kadar...
Dibandingkan pula dengan manusia. Allah s.w.t memberi kita nikmat yang pelbagai sehingga tidak terhitung banyaknya. Makanan kita sahaja Masya Allah, 1001 aneka warna, jenis dan rasa ! Pakaian, beraneka jenis warna dan fesyen. Rumah ? Dari pondok kecil, rumah teres, pangsapuri, bangalow, hinggalah istana-istana yang tersergam indah di atas bukit. Tetapi, kebanyakkan apa yang kita lakukan ialah melupakan-Nya. Yang banyak kita Lakukan ialah meninggalkan perintahnya...
Sedangkan kuda perang yang dilayan serba kurang, sanggup berjuang bermati-matian bersama-sama tuannya, tetapi manusia lebih mencintai dunia daripada Allah s.w.t yang menciptanya.
Adakah kerana kuda perang tidak berakal maka ia ikut sahaja kehendak tuannya ? Terfikirkah kita, kuasa apakah yang menundukkan kuda tersebut untuk patuh kepada manusia ? Siapakah yang memberi tenaga dan kekuatan kepada kuda perang (yang hanya makan rumput ) untuk berlari kencang ? Siapakah yang memberi keberanian kepada kuda perang untuk bertempur dengan gagahnya di medan peperangan ?
Dan adakah patut manusia yang dikurniakan akal fikiran maka ia mendustakan segala nikmat Allah dan ingkar terhadap-Nya? Sedangkan kuda perang yang tidak dijanjikan apa-apa balasan di akhirat sanggup berkorban habis-habisan untuk tuannya. Mengapa manusia yang dijanjikan dengan syurga atau neraka sangat ingkar pula terhadap Tuhannya ?
Sama-sama kita renugkan.. Nikmat manalah ingin kita dustakan ?